-->

Bahagian Pembangunan Kompetensi (BPK) ditubuhkan pada bulan Jun 2002 sebagai Cawangan Pembangunan Kompetensi, di bawah Bahagian Sumber Manusia. Selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4, tahun 2002 di mana pembangunan Sumber Manusia berasaskan kompetensi merupakan teras Sistem Saraan Malaysia, maka cawangan ini telah dinaik taraf sebagai sebuah Bahagian. BPK menguruskan sepenuhnya Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) penjawat awam KKM seluruh Malaysia.

Dalam Pembentangan Bajet 2011, Kerajaan telah memutuskan supaya PTK dimansuh dan digantikan dengan penilaian lain yang lebih sesuai. Melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil.13 Tahun 2010 : Pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan, pelaksanaan PTK dihentikan mulai 1 Januari 2011. Pada tahun 2012, Sistem Saraan Malaysia (SSM) dimansuh dan digantikan dengan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). BPK telah melaksanakan beberapa program sebagai persediaan kepada inisiatif di bawah SBPA iaitu pelaksanaan Program Bersepadu Potensi dan Kompetensi (PROSPEK) dan Bengkel Pelaksanaan Penilaian Kompetensi & Potensi (PKP) serta membangunkan manual yang bertujuan untuk memudahkan pelaksanaan PKP dan PROSPEK. Namun begitu, Kerajaan telah mengumumkan pemansuhan pelaksanaan SBPA pada 8 Mac 2012. Pemansuhan SBPA juga menyebabkan pelaksanaan PROSPEK turut sama dibatalkan.

Walaupun pelaksanaan PTK dan PROSPEK telah dimansuhkan, namun tugas-tugas lain seperti pembangunan kompetensi warga KKM melalui kursus dan latihan, pengurusan Peperiksaan Subjek Jabatan, pemantauan serta pemeriksaan Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja (kini myPortfolio) masih diteruskan. BPK turut menjadi urus setia tetap Mesyuarat Pengurusan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM. Mesyuarat ini diadakan dua kali setahun dengan dihadiri oleh wakil pengurusan di Jabatan Kesihatan Negeri dan hospital seluruh Malaysia.

Seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan Kerajaan Digital, BPK memperkenalkan beberapa program baharu seperti pembangunan Kamus Kompetensi Generik dan Fungsional KKM, Program Pengurusan Bakat (Program Pengurusan), pembangunan Modul Kursus Atas Talian dan Business Process Reengineering. Selain itu, di samping menganjurkan kursus-kursus generik, BPK juga menawarkan kursus-kursus baharu seperti Kursus Pemanduan Berkesan (Pemandu Ambulans) dan Kursus Persediaan Kenaikan Pangkat bagi warga KKM.

Pejabat BPK yang pertama adalah di Aras 5, Blok Podium, Dayabumi, Kuala Lumpur. BPK kemudiannya berpindah ke Tingkat 15, Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut pada April 2006. Pada April 2008, BPK berpindah ke Blok A, Jalan Cenderasari dan kekal sehingga kini.

 

WARNA

SAIZ TEKS

-A A A+